Friday 26 June 2015

SEMINAR TERTUNAIKAH CINTAMU? KE ARAH MENGENAL CINTA HAKIKI (DENGAN KERJASAMA AHLI PGPI)

Tarikh : 28 Februari 2015
Masa : 8:00 hingga 12:30 pagi
Tempat : Dewan Rafflesia IPGK Tawau

Program Seminar Tertunaikah Cintamu ini merupakan anjuran bersama Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Sabah, HELWA Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sabah, Jabatan Hal Ehwal Pelajar IPGK Tawau serta Jabatan Pendidikan Islam dan Moral IPGK Tawau. Objektif program ini diadakan adalah untuk memberi kesedaran yang tinggi dalam jiwa golongan remaja tentang makna cinta. Cinta sebenar yang dianjurkan dalam Islam sekaligus memberi kesedaran betapa pentingnya peranan dan tanggungjawab mereka pada agama, bangsa dan negara serta membentuk dan memupuk nilai-nilai akhlak murni, meningkatkan potensi peserta daripada aspek memberi bimbingan dan kaunseling serta motivasi kepada golongan remaja. Aktiviti ini juga mensasarkan para pelajar IPG Kampus Tawau, UITM serta pelajar sekolah menengah yang terdiri daripada beberapa sekolah.

             Program ini dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh En. Kamarul Zaman Ishaek yang merupakan Yang Dipertua ABIM Tawau. Kemudian, aktiviti diteruskan dengan ucapan perasmian oleh Timbalan Pengarah IPGK Tawau, Encik Mohd Zain Bin Badui. Pada pukul 9:00 pagi, slot 1 bermula dengan ceramah yang bertajuk Cintaku Ke Syurga?’ yang disampaikan oleh Puan Fadhlina Sidek, Timbalan Presiden ABIM. Pada pukul 10:30 pagi pula, slot 2 bermula iaitu forum yang bertajuk ‘Cinta Utama’. Panel yang terlibat ialah Prof Madya Dr. Arsiah Binti Bahron yang merupakan Pensyarah Universiti Malaysia Sabah serta Puan Fadhlina Sidek. Moderator forum ini adalah Mohd Hisyam Abid yang merupakan ahli jawatankuasa ABIM.


Segala perjalanan majlis yang dirancang berjalan dengan lancar dan sempurna. Program ini secara tidak langsung mengeratkan silaturahim antara pelbagai pihak sepanjang majlis ini berlangsung. Di samping itu, program ini juga memberi kesedaran dalam kalangan peserta. Input yang diterima melalui ceramah yang diberi menyedarkan golongan belia yang terlibat betapa penting dan beratnya tanggungjawab yang dipikul sebagai golongan belia dalam mengajak masyarakat menghayati serta mengamalkan kehidupan berlandaskan syariah dan tuntutan agama. Program Seminar Tertunaikah Cintamu sangat penting sebagai penyambung kepada usaha-usaha menyediakan program alternatif kepada remaja, belia dan masyarakat setempat sekaligus dapat membenteras gejala kurang sihat dalam kalangan remaja kerana masa lapang mereka telah diisi dengan aktiviti yang berteraskan Islam. Program ini akan dijadikan modul tetap kepada remaja dan pelaksanaannya akan diperluas ke daerah-daerah lain di seluruh Negeri Sabah. Diharapkan agar usaha ini akan berteruskan dan berkekalan hingga ke akhirnya demi melahirkan remaja yang dapat menghayati nilai-nilai murni yang sedia ada dalam diri setiap individu.

No comments:

Post a Comment